Sunday 24 April 2011

Tarian Tradisional Bumiputera Sabah

Tarian ini merupakan sejenis tarian tradisi rakyat Sabah yang amat terkenal di Sabah dan di seluruh Malaysia. Tarian Sumazau merupakan sejenis tarian tradisi suku kaum Kadazandusun. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti tarian sumazau yang ditarikan untuk mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan juga untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Gerak dan irama tari Sumazau adalah perlahan-lahan dan lemah lembut. Pasangan penari lelaki dan wanita menari berhadap hadapan dan mereka menggerak-gerakkan kaki dengan langkah kecil, sementara tumit kaki diangkat dan diturunkan mengikut irama lagu. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya tarian Sumazau ditarikan semasa menyambut pesta Kaamatan (hari keramaian) dan semasa majlis jamuan.

Tarian ini adalah sejenis tarian asli masyarakat suku Bajau. Tarian Limbai ditarikan ketika menyambut ketibaan pengantin lelaki yang diarak ke rumah pengantin perempuan. Sebaik sahaja rombongan pengantin sampai, perarakan dihentikan sementara, lalu tarian Limbai dipersembahkan di hadapan pengantin. Ia merupakan upacara khas sebagai isyarat menjemput pengantin naik ke rumah untuk melakukan istiadat ijab qabul yakni pernikahan. Irama dan bahasa tarian mengiringi anggota-anggota rombongan pengantin naik ke rumah. Penari-penari melambai-lambaikan selendang mereka sebagai lambang mengundang dan mengucapkan selamat datang.


TARIAN SUMAYAU
Tarian ini merupakan tarian asli suku kaum Dusun daripada daerah Tuaran dan juga dikenali sebagai Madsayau. Tarian Sumayau merupakan tarian khas bagi menyambut hari Mengaji atau dalam bahasa Dusun disebut Mengahau. Oleh yang demikian ianya tidak ditarikan dalam majlis-majlis bersukaria seperti menyambut hari keramaian dan sebagainya.
Persembahan tarian diketuai oleh seorang Monolian iaitu wanita yang telah lanjut usianya dan dalam pengetahuannya mengenai upacara-upacara tertentu. Ia harus juga dari keturunan Monolian.
Mengahau adalah suatu majlis yang diadakan besar-besaran dan mengambil masa hingga lima hari lima malam.Tujuannya adalah untuk mengaji gusi-gusi, (gusi-gusi ialah sejenis tampian besar) untuk menghormati atau memuja gusi-gusi itu, Di samping itu upacara sedemikian juga adalah untuk memperingati keluarga yang telah meninggal dunia iaitu seperti kenduri arwah yang lazim dilakukan oleh masyarakat Melayu Islam.
Sebaik sahaja muzik dimainkan penari-penari mulalah menari dan terus menuju ke ruang atau gelanggang tari. Gerakkan tangan penari-penari adalah mengikut irama lagu. Gerak kaki adalah perlahan jika dibandingkan dengan gerak tangan. Ia cuma bergerak berinsut-insut yang amat perlahan. Gerak tarian akan bertambah rancak sedikit apabila mendapat tepukan atau rangsangan daripada para penonton.


 TARIAN MAGUNATIP
Ini merupakan sejenis tarian tradisi masyarakat suku kaum Murut dari suku Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit' yang bermakna jepit. Ia membawa maksud ketika menari kaki penari terjepit atau terapit di antara dua batang kayu (buluh) jikalau tidak cekap mengelakkannya. Biasanya tarian ini tidak memerlukan iringan muzik oleh kerana bunyi buluh itu yang dilagakan akan menimbulkan bunyi yang kuat serta rentak dan irama yang menarik. Tarian Magunatip bertujuan untuk memeriahkan sesuatu upacara yand diadakan.
TARIAN ADAI-ADAI
Adai-adai pada mulanya merupakan nyanyian yang digunakan sebagai suara beramai pada sebuah pantun yang dinyanyikan. Tarian ini tidak menggunakan sebarang alat muzik ketika menyanyikannya. Bunyi yang mengiringi nyanyian adalah hentakan pengayuh di bahagian pinara sampan atau perahu yang didayung serta pukulan buyung atau keduit. Tarian ini dipersembahkan di majlis-majlis keramaian. Ia merupakan tarian masyarakat suku Berunai yang mendiami pekan Weston, Sabah.

Tarian ini bukannya tarian asal suku kaum Bajau di Daerah Semporna, sebaliknya ia dibawa oleh orang-orang Suluk dari Kepulauan Mindanau. Pertumbuhan masyarakat Bajau dan Suluk yang sering mempengaruhi, maka hadirlah tarian ini sebagai milik masyarakat Bajau yang menetap di Semporna. Perkataan Daling-daling berasal daripada perkataan Inggeris darling yang bererti kekasih. Tarian ini adalah tarian hiburan di majlis-majlis tertentu yang sifatnya berbalas pantun di antara penari lelaki dan perempuan.

2 comments:

  1. boleh tolong terangkan tentang tarian nona man sayau dari bangsa kokos? thanks :)

    ReplyDelete
  2. boleh tolong terangkan tentang tarian nona man sayau dari bangsa kokos? thanks :)

    ReplyDelete